- Get link
- X
- Other Apps
Caption:
1. PERLU BANTUAN...Chama bersama isteri ketika di hadapan pondok usangnya
di Pantu.
2. DEMI SESUAP NASI...Januri sedang menjemur buku getah sambil ditemani
suaminya iaitu Chama.
3. UNTUK SIMPANAN...Gambar menunjukkan barisan botol plastik yang
mengandungi air bersih dari kemudahan air paip rumah panjang untuk kegunaan
Chama dan isterinya.
4. SIBUK...Kawasan anjung pondok usang milik Chama dan isterinya menjadi
lokasi untuk membasuh pinggan mangkuk selama ini.
5. USANG...Chama dan isterinya menunjukkan dapur usang untuk memasak
makanan dan air bersih ketika ditemui Utusan Sarawak.
6. INI YANG KAMI ADA...Chama dan isterinya ketika menunjukkan lokasi tempat
tidur mereka yang tampak usang dan menyedihkan.
7. MENYEDIHKAN...Gambar menunjukkan pondok usang yang didiami oleh Chamar
dan isterinya semenjak berhenti dari perkhidmatan tentera kira-kira 31 tahun
lepas.
PANTU, Isnin (19 Mac) – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Begitulah masalah kesempitan hidup yang melanda sebuah keluarga miskin tegar
dari Rumah Lanyau, dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman.
Chama anak Manchu, 68, seorang bekas anggota 1 Renjer, Angkatan Tentera
Darat Malaysia hidup dalam kemiskinan bersama isterinya iaitu Januri anak Samat,
60, di sebuah pondok usang bersebelahan rumah panjang Lanyau semenjak 30 tahun
lepas.
Kedua-dua Warga Emas yang hanya dikurniakan seorang anak lelaki iaitu
Rayong Chama, 31, itu hidup dalam serba kekurangan tanpa adanya bekalan
elektrik 24 jam dan juga bekalan air bersih.
“Saya bersama isteri hanya mampu meraih pendapatan antara RM300 hingga
RM350 sebulan dengan memotong getah dan berkebun,” katanya ketika ditemui
Utusan Sarawak di kediamannya kelmarin.
Anaknya iaitu Rayong sudah pun berumah-tangga dan hanya mampu mengirim
beras dan beberapa makanan tambahan memandangkan beliau hanya bekerja sebagai
seorang mekanik.
Jika bernasib baik, Chama akan mengambil upah dengan bekerja untuk penduduk
di rumah panjang berdekatan demi menampung kos keperluan hidup dirinya dan
isteri iaitu Januri.
Lagipun kedaifan hidup Warga Emas terbabit nyata mampu digambarkan dengan
keadaan dapur dan ruang bilik tidur yang kotor, apatah lagi tiada sebarang
peralatan elektronik seperti radio dan televisyen untuk berhibur selama ini.
Jika sudah berpenat-lelah pulang dari kebun sekitar jam 3 petang, Chama
akan berkunjung ke rumah saudaranya di rumah panjang berdekatan untuk menonton
televisyen sebelum pulang ke pondok pada waktu malam.
“Kami berdua mandi dan membasuh pakaian dari air telaga berdekatan. Kami
tiada kemudahan air paip dan ia memaksa kami berdua untuk mengambil air minum
dari bekalan air paip rumah panjang,” katanya.
Beliau turut memberitahu bahawa isterinya pernah ditemubual menerusi
program e-kasih pada awal tahun lepas namun belum mendapat sebarang maklumbalas
berhubung sebarang bantuan hingga masa sekarang.
Justeru kedua-dua Warga Emas terbabit mengimpikan bantuan kebajikan bulanan
dan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) daripada kerajaan untuk
keselesaan hidup mereka selepas ini.
“Saya juga merayu pihak kerajaan agar membantu menyelesaikan masalah permohonan
kad pengenalan milik saya yang sudah lama tertangguh semenjak 4 November 2010
lepas,” katanya.
Terdahulu, Chama telah menyertai Angkatan Tentera Darat Malaysia bermula 23
Jun 1964 dan pernah mengalami kecederaan akibat tembakan penganas komunis di
kawasan Sarikei pada tahun 1972 sebelum tamat perkhidmatan pada 22 Jun 1980.
Tamat.
Comments
Post a Comment